Sunday, June 26, 2011

CARA MENGHASILKAN IMEJ PANORAMA

kategori: Photo editing

Panorama adalah imej yang mempunyai sudut pemandangan yang lebar (wide angle view). Bagi mendapatkan imej panorama, para jurugambar perlu menggunakan lensa yang mempunyai sudut pandangan yang luas seperti ultra-wide lense dan fish-eye lense. Bagaimanapun, lensa jenis ini agak mahal dengan harga dalam lingkungan RM 2000.

Sebagai altenatif, penulis menggunakan Adobe Photoshop untuk menghasilkan imej panorama. Cara ini amat mudah dan anda hanya memerlukan:-

    • Kamera digital
    • Tripod (pilihan)
    • Perisian Adobe Photoshop CS2 dan keatas

Langkah pertama

Perkara pertama yang diperlukan adalah beberapa gambar yang diambil dengan menggunakan kamera digital. Perkara yang perlu diingat semasa mengambil gambar adalah:- 

    1. Pastikan gambar mempunyai 15 – 30% ruang pertindihan (overlap) yang konsisten antara gambar.
    2. Pastikan ketinggian gambar yang diambil adalah sama. Anda boleh menggunkan tripod ataupun hanya dengan menggerakan badan kesisi dengan posisi dan ketinggian kamera yang sama.
    3.  Pastikan juga jarak fokal (focal length), white balance, eksposure dan aperature adalah sama unutk semua gambar. Anda dinasihatkan menggunakan manual fokus.
    4. Elakkan mengambil gamabr subjek yang bergerak

Anda boleh mengambil seberapa banyak gambar untuk dicantumkan, namun perlu diingat Photoshop menggunakan kapasiti komputer yang tinggi untuk tujuan pemprosesan.

Berikut adalah contoh gambar sebelum dicantumkan




Setiap gambar mempunyai sekurang-kurangnya 30% pertindihan gambar

Langkah Kedua

Langkah kedua adalah menggabungkan gambar yang telah diambil dengan menggunakan Photoshop. Untuk ini,pilih:- 

    1. File > Automate > Photomerge.
    2. Masukkan kesemua gambar yang ingin digabungkan dengan menekan butang browse.
    3. Pilih layout yang disediakan untuk menggabungkan gambar
    4. Klik OK

Terdapat beberapa layout yang disediakan untuk hasil penggabungan gambar yang berbeza 


Setelah selesai, anda mungkin mendapati terdapat beberapa ruang didalam gambar yang berlebihan. Gunakan Crop Tool untuk membetulkan bahagian sisi gambar. 


Sebelum itu anda mungkin ingin untuk menggabungkan semua layer yang terhasil. Tekan Layer > Merge Visible untuk tujuan ini.

Imej panorama setelah proses penggabungan selesai

Anda mungkin mendapati terdapat beberapa penggabungan yang kurang sempurna seperti ghosting atau misaligned. Untuk ini, anda boleh menggunakan tool seperti Clone Stamp dan Healing Brush.

pembetulan imej menggunakan Clone Stamp Tool

Imej panorama setelah selesai

Sekarang penggabungan imej Panorama anda telah selesai. Simpan fail imej ada sebagai format JPEG atau format lain pilihan anda. Langkah yang diberikan diatas amat mudah dan boleh digunakan dengan menggunalan mana-mana kamera digital. Namun, jika kamera anda mempunyai fungsi untuk mengambil gambar panorama, gunakan saja J.





Sunday, June 19, 2011

TIP PENGGUNAAN LAMPU KILAT


Kategori: Photografi

Pencahayaan atau lighting adalah satu perkara yang penting dalam photografi. Kebanyakan kamera yang dipasarkan sekarang mempunyai lampu kilat sendiri. 

Sebelum kita bercakap mengenai tip penggunaan lampu kilat, mari kita lihat apa yang penting bagi lampu kilat sesebuah kamera. Bagi yang sedang berkira-kira ingin membeli kamera, ini dapat dijadikan panduan.

  • Periksa kekuatan pancaran flash yang dinyatakan dalam Guide Number atau GN. Semakin besar semakin kuat pancaran flash kamera itu.
  • Periksa sama ada lampu kilat berada di kamera atau boleh dibuka tutup. Lampu kilat yang boleh dibuka tutup adalah lebih baik kerana jarak lampu dan lensa yang semakin jauh meminimakan risiko mata merah (red eye).
  • Periksa sama ada kamera mempunyai flash hot-shoe. Ini membolehkan kita memasang lampu kilat eksternal. Jika ada, periksa berapa titik sambungan yang berada di hot-shoe tersebut. (Jika hanya ada satu, maka ia tidak mendukung fungsi TTL-flash).
  • Periksa sama ada kamera mempunyai fungsi front sync dan rear sync (ataupun 1st curtain dan 2nd curtain). Anda boleh menyemaknya di dalam buku manual.
  • Kenal pasti kepantasan kamera bersedia kembali setelah mengambl gambar. Ini kerana kamera perlu mengisi kapasitor setelah gambar diambil dan ini mengambil masa sehingga tujuh saat. Semakin cepat masa diperlukan semakin bagus kamera tersebut.

Di bawah adalah beberapa tip untuk memaksimakan penggunaan lampu kilat:-

Fill-in Flash

Penggunaan lampu kilat pada waktu tengah hari dirasakan tidak perlu. Tetapi pada situasi tertentu, penggunaan lampu kilat sebenarnya tetap diperlukan. Ini ditentukan oleh ke arah mana sinar matahari memancar. Lampu kilat diperlukan untuk menerangkan bayangan objek pada waktu tengah hari. Ini menjadikan langit lebih biru dan terasa natural. Teknik ini dinamakan fill-in flash.

Seperti yang biasa terjadi, untuk mendapatkan latar belakang langit biru amat sukar. Metering kamera akan berusaha untuk mendapatkan eksposure yang tepat pada objek. Ini menyebabkab latar belakang menjadi over eksposure. Berikut adalah langkah termudah (boleh juga digunakan dengan kamera kompak) untuk mendapatkan gambar langit yang biru adalah:-

  • Turunkan Ev (nilai eksposure) pada kamera menjadi negatif. Ini menjadikan eksposure yang betul pada langit, tetapi objek menjadi gelap.
  • Gunakan lampu kilat. Dengan bantuan fill-in flash maka objek yang gelap akan menjadi lebih terang.
  • Juga, pastikan jarak objek dalam jangkauan lampu kilat.


contoh penggunaan fill-in flash pada waktu tengah hari

Slow Sync Flash

Pada situasi gelap, lampu kilat membolehkan kita untuk mengambil gambar. Namun, kerana kekuatan lampu kilat yang terbatas hanya kawasan yang diliputi cahaya lampu kilat terang manakala latar belakang akan menjadi gelap. Ini adalah kerana pada mod automatik, kelajuaan shutter yang akan digunakan kamera adalah 1/60 saat. Untuk mendapatkan gambar yang lebih natural, kita perlu menggunakan kelajuan shutter yang lebih rendah supaya kamera juga dapat menangkap cahaya dari sekitar (jika ada). Ini dapat dilakukan dengan menggunakan fungsi Slow Sync Flash pada kamera.

Kebanyakan kamera digital pada masa sekarang sudah dilengkapi dengan fungsi Slow Sync Flash. Slow Sync Flash adalah penggunaan lampu kilat yang digabungkan dengan penggunaan kelajuan shutter yang rendah. Apabila anda menggunakan fungsi ini, pastikan getaran tangan dihindari. Ini kerana kelajuan shutter yang rendah (biasanya ¼ - 1/30 saat). Anda boleh mengaktifkan stabilizer pada kamera atau menggunakan tripod. Pastikan juga objek tidak bergerak semasa gambar diambil.

Berikut adalah contoh perbezaan antara flash biasa dan slow sync flash

Perbezaan flash biasa (atas) dan slow-sync (bawah)
(credit : navendu.net)

Front Sync dan Rear Sync Flash

Fungsi ini hampir sama dengan Slow Sync Flash, bezanya adalah waktu lampu kilat itu menyala.
  • Front Sync (atau 1st Curtain), lampu kilat menyala setelah tombol ditekan dan shutter terbuka.
  • Rear Sync (atau 2nd Curtain), lampu kilat menyala menjelang shutter tertutup

Front Curtain dan Rear Curtain


Apabila kelajuan shutter yang digunakan tinggi, maka ini tidak memberikan sebarang perbezaaan. Namun, apabila kita menggunakan kelajuan shutter yang rendah (contohnya ½ saat), maka kita akan mendapat hasil yang berbeza. Dengan memanfaatkan fungsi ini, kita akan mendapat kesan bergerak pada sesuatu objek (Motion Blur).


Front Sync Flash, lampu kilat akan terbuka setelah tombol kamera ditekan. Apabila kelajuan shutter yang rendah digunakan, Motion Blur seperti di atas akan terhasil.


Rear Sync Flash, lampu kilat akan menyala menjelang shutter tertutup. Apabila kelahuan shutter yang rendah digunakan, Motion Blur seperti di atas akan terhasil.

sumber: kamerague.com

Monday, June 13, 2011

CARA MENGHASILKAN IMEJ HDR


Seringkali kita melihat pemandangan yang cantik dan mengambil gambar pemandangan itu dengan menggunakan kamera digital. Tetapi apabila gambar diambil hasilnya tidak seindah pemandangan seperti yang dilihat oleh mata kita. Ini adalah kerana mata kita lebih adaptif dan lebih sensitif terhadap keamatan (intensity) warna berbanding sensor kamera. Ini diterjemahkan dengan perbandingan dynamic range di bawah.
  
Perbandingan dynamic range antara kamera digital dan mata manusia

Kamera digital dikatakan mempunyai dynamic range yang rendah kerana apabila kamera mengesan kawasan yang terang di dalam sesuatu imej, ia akan menggelapkan gambar tersebut sehingga kawasan yang sudah gelap menjadi lebih gelap dan sebaliknya bagi kawasan yang dikesan gelap di dalam gambar. Kamera yang menggunakan filem hanya mengalami masalah ini secara minimum dan dikatakan mempunyai dynamic range yang tinggi.

High Dynamic Range atau HDR adalah teknik pengeditan yang  dicipta lebih 20 tahun yang lepas membolehkan kita meningkatkan dynamic range sesuatu gambar dengan menyeimbangkan kawasan yang paling gelap dan terang bagi sesuatu gambar. 

Bagi penulis, HDR digunakan untuk meningkatkan kontras dan menambah efek awan biru di dalam gambar.
Terdapat pelbagai cara untuk menghasilkan imej HDR dan pada kali ini penulis ingin berkongsi tentang cara yang mudah dan biasa digunakan penulis.

(1) Menghasilkan Eksposure Gambar yang Berbeza

Langkah pertama adalah menghasilkan gambar yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga eksposure yang berbeza (terang, normal dan gelap). Ini boleh dilakukan dengan menggunakan perisian komputer. Bagi Adobe Photoshop eksposure boleh diubah dengan menekan image > adjustments > ekposure… Tukar dan simpan eksposure gambar kepada -1.00, 0.00, dan 1.00eV.

Bot Nelayan (Eksposure normal, 0.00eV)

Bot Nelayan (Eksposure -1.00eV)

Bot Nelayan (Eksposure +1.00eV)

(2) Menghasilkan Imej HDR

Terdapat banyak perisian komputer untuk menghasilkan imej HDR seperti Photomatix, Dynamic Photo HDR dan juga Adobe Photoshop. Pada kali ini penulis menghasilkan imej HDR dengan menggunakan Dynamic Photo HDR.

langkah Satu: Creat HDR Image

Ketiga-tiga imej tadi dimasukkan ke dalam perisian

Langkah dua: Tone Map HDR file

Penulis menggunakan setting tersedia iaitu Ultra-Contras. Bagaimanapun, setting lain dalam tone mapping boleh digunakan mengikut citarasa anda.

Langkah tiga: Process and Edit

Disini, imej HDR kita sudah disiapkan. Imej masih masih boleh diedit sebelum disimpan.

(3) Mengurangkan Noise

Secara teknikalnya, imej HDR kita sudah selesai. Tetapi penulis mendapati imej yang keluar dari perisian Dynamic Photo HDR mempunyai noise yang tinggi. Jadi penulis menggunakan perisian Neat Image untuk mengurangkan noise. Perisian Neat Image hanya memerlukan beberapa langkah mudah dan hasilnya ditujukkan dibawah:-

Imej HDR asal (terdapat noise yang jelas kelihatan di dalam imej ini)

Image HDR selepas menggunakan perisian Neat Image (noise dikurangkan)

Menghasilkan imej HDR adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana imej yang sihasilkan terasa seperti sama dengan apa yang dilihat oleh mata. Namun, teknik HDR juga boleh digunakan untuk menambah efek di dalam gambar sehingga imej yang dihasilkan tidak sedikit pun menyamai pemandangan ketika gambar diambil. Itu semua bergantung kepada kreativiti masing-masing.   



  


     

Tuesday, June 7, 2011

KOMPOSISI GAMBAR: Framing

Kategori: photografi

Salah satu cara asas untuk mencantikkan gambar adalah framing. Jurugambar amatur dan profesional biasa menggunakan teknik ini kerana gambar yang diambil tidak akan kelihatan bosan apabila digunakan secara efektif.

Kegunaan teknik framing adalah seperti di bawah:
  • Menyerlahkan lagi subjek (mengarahkan pandangan ke arah subjek)
  • Menambah rasa tiga dimensi di dalam gambar dua dimensi
  • Jika frame itu mempunyai persamaan dengan subjek, ia menambahkan lagi keharmonian gambar
  • Menambah tarikkan bagi gambar dan memperbagaikan sudut pandangan

Biasanya, lensa bersudut lebar (wide angle lens) digunakan dalam teknik ini bagi mendapatkan depth-of-field (DOF) yang maksimum. Bagaimanapun, framing diluar fokus (out-of-focus) juga kadangkala boleh memberikan kita hasil yang diiginkan terutama apabila frame itu tidak releven terhadap subjek utama.

Framing biasa digunakan untuk mengambil gambar pemandangan dan arkitektur.

Berikut adalah contoh gambar yang diambil menggunakan teknik framing:


Penulis cuba menyerlahkan lagi menara masjid yang dijadikan subjek utama


Penulis cuba menggunakan batuan di tepi pantai untuk dijadikan frame

(sumber: www.digitalmukmin.com)

Contoh hasil gambar yang menarik apabila komposisi framing digunakan dengan efektif

Sunday, June 5, 2011

KOMPOSISI GAMBAR: Rule of Third

Kategori: photografi

Pada kali ini penulis ingin berkongsi tentang komposisi dalam photografi. Komposisi adalah bagaimana seseorang jurugambar itu bercerita tentang apa yang hendak diberitahu tentang sesebuah gambar itu. Komposisi dalam photografi adalah lebih sukar berbanding komposisi dalam lukisan kerana objek sudah sedia ada dan perlu disusun oleh jurugambar itu sendiri.

Rule of third adalah jenis komposisi yang paling asas dan paling mudah untuk digunakan dalam photografi. Prinsip asas dalam rule of third adalah mengelakkan simetri di dalam gambar. Ini dilakukan dengan membayangkan terdapat tiga bahagian, melintang dan menegak, di dalam gambar. Pembahagian gambar adalah seperti di bawah:
Rule of third (sumber: http://photoinf.com)

Rule of third dicipta kerana dikatakan bahawa mata manusia lebih selesa untuk melihat objek yang diletakkan pada titik 1/3 gambar. Ini menyenangkan lagi mata manusia untuk melihat gambar secara keseluruhan. Tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh meletakkan objek pada bahagian tengah gambar. Ini semua bergantung kepada jurugambar tentang bagaimana gambar itu hendak diambil.

Bagi penulis, rule of third member panduan kepada penulis apabila hendak meletakkan sesuatu objek di dalam latar yang besar. Rule of third juga berguna semasa megambil gambar pemandangan (landscape).

Berikut adalah contoh penggunaan rule of third:

Pada gambar ini, penulis membahagikan gambar kepada tiga. 2/3 daripada gambar diisi dengan awan yang lebih menyerlah berbanding tasik.

Rule of third juga boleh digunakan untuk menyerlahkan lagi sesuatu objek yang diambil. Ini dilakukan dengan meletakkan objek itu pada titik persilangan garisan rule of third (ditunjukkan dengan bulatan pada rajah diatas).

Berikut adalah contoh aplikasi:

 Pada gambar ini, penulis meletakkan objek pada salah satu titik persilangan garisan Rule of Third (lihat rajah di atas). 




Gambar diatas menunjukkan bagaimana transformasi gambar boleh dilakukan. Ia agak menarik kerana gambar yang diambil boleh dicantikkan lagi dengan hanya mengubah sudut pandangan.

Friday, June 3, 2011

SEJENAK MENGENAI KAMERA DSLR


Kategori: Kamera DSLR

Minat terhadap kamera DSLR pada masa ini semakin meningkat. Ditambah pula dengan harga DSLR yang semakin berpatutan. Harga diantara kamera kompak (point and shoot camera) dan DSLR sudah tidak jauh berbeza. Walaupun entry-level DSLR mempunyai spesifikasi yang lebih rendah namun pengguna tetap mendapat kelebihan yang didapati oleh mana-mana pengguna DSLR.

Untuk membantu pengguna membuat keputusan membeli kamera, berikut adalah pengetahuan  asas tentang kamera DSLR.
    
DSLR Mempunyai Banyak Pilihan Lensa
Apabila membeli DSLR, pengguna diberi pilihan untuk membeli badan sahaja (body only) atau  membeli badan kamera bersama dengan lensa kit (kit lense). Membeli bersama lensa kit adalah lebih ekonomi dan biasanya sudah mencukupi bagi mereka yang baru dalam bidang photografi. Namun, keputusan untuk membeli lensa adalah mengikut kemampuan kewangan dan kegunaan photografi pengguna.

Lensa dibahagikan kepada lensa wide, normal dan tele. Terdapat lensa zoom yang meliputi rentangan yang lebar seperti lensa zoom 18-200mm (18mm-wide, 200mm-tele). Namun, perlu diketahui lensa fix (prime lense) mempunyai kualiti imej yang lebih tinggi berbanding lensa zoom disamping harga yang jauh lebih murah.

Prinsip Kerja DSLR
Antara ciri utama DSLR adalah ia mempunyai cermin (reflex mirror) dihadapan sensor. Cermin ini memantulkan cahaya daripada lensa ke arah pentaprisma dan seterusnya kearah  viewfinder (eyepiece). Apabila gambar diambil, cermin ini akan terangkat untuk membenarkan cahaya memasuki sensor.
Prinsip kerja DSLR (Sumber: http://myphotographylesson.com)

Walaupun kamera DSLR sekarang mempunyai fungsi live preview seperti yang terdapat pada kamera kompak, ciri ini masih belum cukup sempurna. Auto fokus pada live preview masih lebih lambat dan bagi menjaga hayat bateri dan sensor, penggunaan live preview hendaklah diminimakan.

Sensor DSLR
Pada dasarnya, DSLR mempunyai sensor yang lebih besar berbanding kamera kompak biasa. Berikut adalah ukuran-ukuran bagi sensor:   
Ukuran-ukuran sensor (sumber: Wikipedia)

Sensor berukuran 35mm juga dipanggil ‘full frame’ kerana saiznya yang sama seperti ukuran filem pada SLR. Bagi mengurangkan kos, Nikon dan Canon mengeluarkan sensor bersaiz APS-C bagi kamera DSLR kelas rendah mereka. Sensor yang lebih kecil berbanding sensor full-frame ini akan mengalami crop-factor (crop-factor bagi sensor APS-C adalah 1.6). Saiz sensor yang perbagai ini juga menyebabkan saiz panjang fokal efektif yang berbeza terhadap sesuatu lensa. Contohnya, 35mm panjang fokal efektif pada sensor APS-C bersamaan dengan 52mm panjang fokal efektif pada sensor full frame (1.6 crop factor).

Komponen DSLR
DSLR mempunyai banyak komponen. Salah satu komponen di dalam DSLR adalah modul auto fokus. Kelas dan harga sesebuah DSLR ditentukan oleh jenis modul AF dan jumlah titik fokus yang terdapat di dalamnya. Titik fokus boleh dipilih secara automatik atau manual bagi menentukan tempat yang perlu difokus dengan betul.
Titik fokus pada kamera Nikon D7000

Selain modul AF, DSLR juga mempunyai modul light meter. Modul light meter berfungsi untuk mungukur dan menganalisa pencahayaan yang masuk melalui lensa. Ini menentukan eksposure yang tepat. Eksposure yang tidak tepat menyebabkan gambar menjadi terlalu terang atau gelap.

Kamera kompak biasa tidak mempunyai modul-modul khas seperti ini, ia hanya mengunakan pengiraan oleh prosesor untuk menentukan fokus dan eksposure secara automatik.   

Prestasi Kerja DSLR
Hasil kerja sesebuah DSLR adalah sangat pantas. Ini kerana, DSLR dilengkapi dengan prosesor imej yang cukup bertenaga (contoh: EXPEED 2 bagi Nikon) serta, mempunyai ruang buffer yang cukup besar. Dengan menggunakan kad memori yang pantas (contoh: SD Memory Card kelas 6) kamera DSLR boleh mengambil melebihi 5 keping gambar dalam masa sesaat dengan menggunakan mod continuous shooting.

Aksesori DSLR
DSLR mempunyai banyak aksesori yang boleh ditambah mengikut keperluan photografi pengguna, seperti:
  • Focusing screen
  • Magnifier eyecup
  • Vertical/battery grip – untuk menambah jumlah kuasa bateri serta menambah grip, untuk lebih selesa (ergonomik)
  • Flash/speed light – pencahayaan amat penting di dalam photografi. Dengan adanya flash hot shoe membolehkan flash light tambahan dipasang pada kamera. Kamera kelas tinggi juga mempunyai wireless-flash untuk lebih kretiviti
  • GPS Unit – tedapat juga unit GPS untuk merekod lokasi gambar diambil.


Usia Shutter DSLR
Setiap kali gambar diambil, bilangan pembukaan shutter atau shutter count akan direkodkan didalam EXIF data bagi setiap gambar (EXIF data juga menyimpan maklumat-maklumat lain dan boleh dibuka dengan menggunakan perisian tertentu). Anggaran jangka hayat bagi sesebuah shutter unit adalah sehingga 50 ribu kali bukaan (100 ribu kali bukaan bagi kamera kelas atas) sebelum shutter unit perlu diganti. Shutter unit boleh diganti oleh pengedar rasmi dengan harga sekitar RM 350. Jadi, pengguna DSLR perlu berhermat bagi memastikan shutter count tidak terlalu tinggi kerana ia jega menemtukan nilai jualan balik sesebuah kamera.

Maklumat Tambahan Tentang DSLR
Oleh kerana lensa DSLR boleh dibuka, maka risiko untuk debu memasuki ruang di dalam DSLR lebih tinggi. Ini menyebabkan hasil gambar menjadi kurang sempurna apabila terdapat debu pada sensor. Walaupun sudah banyak kamera yang mempuyai system anti debu, pembersihan sensor secara manual masih perlu dilakukan. Untuk membersihkan debu, peralatan khas seperti peniup debu diperlukan. Debu juga boleh terlekat pada cermin lensa. Teknik pembersihan kamera yang betul  diperlukan untuk menjaga kamera agar tidak rosak    

Begitulah perkara-perkara asas mengenai DSLR. Diharap artikel ini membolehkan pemilik-pemilik DSLR lebih mengenali DSLR anda dan bagi mereka yang merancang untuk membeli DSLR, diharap maklumat diatas sedikit sebanyak membantu anda untuk membuat pilihan. 

Wednesday, June 1, 2011

Pengenalan

Assalamualaikum dan selamat datang penulis ucapkan kepada semua pembaca blog Rauna-Photography. Untuk pengetahuan pembaca, Rauna adalah imej nama yang dilihat penulis yang biasa dipanggil Anuar di dalam cermin (ANUAR-RAUNA). Penulis berharap blog ini menjadi gambaran atau imej diri penulis kepada semua pembaca.

Objektif blog ini adalah untuk membincangkan topik-topik mengenai photogafi, kamera digital & DSLR, dan aksesori. Penulis juga menggunakan blog ini sebagai showcase hasil-hasil kerja penulis dalam bidang photografi.

Penulis ucapkan terima kasih kerana sokongan anda terhadap blog ini dan megalu-alukan sebarang cadangan untuk memperbaiki blog ini.

Sekian,

RAUNA